UUM SUMBANG ZAKAT RM25,000 UNTUK PPKKTPIS
Bagi menghargai jasa guru dan staf Pusat Perkembangan Kanak-kanak Tunku Puteri Intan Safinaz (PPKKTPIS), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menyerahkan sumbangan zakat berjumlah RM25,000 di Bilik Mesyuarat Senat, kelmarin.
Penyerahan cek cura itu disampaikan oleh Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan kepada Pengurus PPKKTPIS, Norhayati Hassan.
Dr. Mohd Foad berkata, guru dan staf pusat tersebut telah banyak menyumbang tenaga dan masa mereka untuk mendidik anak-anak staf, selain mengasuh mereka yang masih kecil.
“Pengurusan universiti tidak pernah meminggirkan mereka terutama dalam aspek kebajikan, justeru kita bersetuju untuk memberi sumbangan secara ‘one-off’ ini menggunakan peruntukan dari akaun pengurusan zakat.
“Sumbangan berjumlah RM23,000 akan disalurkan kepada 23 staf, manakala RM2,000 lagi akan digunakan untuk pengurusan PPKKTPIS,” katanya di Majlis Penyerahan Bantuan Kewangan Khas kepada Pusat Perkembangan Kanak-kanak Tunku Puteri Intan Safinaz (PPKKTPIS).
Hadir sama, Pengarah Jabatan Strategik dan Pembangunan Perniagaan, Prof. Madya Sr. Dr. Mohamed Sukeri Khalid.