SINTOK: Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) menyampaikan sumbangan RM400,000 kepada Universiti Utara Malaysia (UUM) sempena majlis ‘Temu Anwar@Kedah’ yang berlangsung di Dewan Mu’adzam Shah, UUM petang ini.
Sumbangan itu disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BIMB, Mohd Muazzam Mohamed kepada Naib Canselor UUM, Prof Dr Mohd Foad Sakdan dan disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sumbangan sebanyak RM350,000 ialah untuk penjenamaan nama BIMB di Inapan Siswa universiti ini manakala RM50,000 lagi ialah sumbangan untuk Zakat Pendidikan BIMB.
Mohd Muazzam yang ditemui berkata, sumbangan BIMB ini adalah bagi membantu universiti kearah pembangunan pelajar terutama kategori pelajar B40 dan merancakkan aktiviti keusahawanan dikalangan pelajar.
“Kami berharap sumbangan ini diharap dapat tingkatkan lagi hubungan antara bank ini dengan warga UUM dalam pelbagai cara antaranya memberikan perkhidmatan terbaik dalam urusan kewangan termasuk melibatkan diri dalam aktiviti pelajar dan universiti ini nanti,”ujarnya lagi.
Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BIMB bersama rombongannya melawat Anjung Tamu dan melawat Inapan Siswa yang akan menggunakan nama bank ini sebelum menyertai program Temu Anwar yang menjadi wadah kepada Perdana Menteri untuk berinteraksi dengan setiap lapisan masyarakat terutama golongan belia untuk mengutarakan persoalan secara langsung kepada beliau.
UUM menjadi tuan rumah di mana Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim menjawab sebarang pertanyaan yang diajukan oleh anak muda di Dewan Mu’adzam Shah, UUM.