Warga Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) menyalurkan sumbangan zakat kepada pelajar UUM yang memerlukan, di Auditorium Pusat Pengajian Antarabangsa (SOIS), semalam.
Naib Canselor, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, UUM menyampaikan sumbangan zakat daripada warga universiti dan bersyukur BIMB turut sama mengagihkan zakat berjumlah RM50,000 kepada pelajar B40.
“70 peratus pelajar UUM adalah dari keluarga miskin, saya tahu makna miskin dan susah kerana kepayahan hidup adalah satu proses untuk mendidik terus cekal dalam perjuangan. Kalian insan pilihan tuhan kerana tuhan sedang tarbiah untuk jadi orang hebat.
“Namun jangan biar kemiskinan menjadi alasan untuk tidak berjaya kerana dalam bilik kuliah tiada lagi miskin dan kaya kerana siapa yang berusaha pasti berjaya. Kalian selangkah lagi menjadi orang berjaya jangan sia-siakan doa ibu ayah yang sudah tidak punya banyak waktu, sentiasa ingat dan sedar diri..
“Kita mahu lahirkan mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang akademik tapi jiwa yang luar biasa dan bila berjaya ingat orang susah, tanamkan diri kita untuk bantu siapa jua di luar sana,” katanya pada Majlis Penyerahan Zakat Bank Islam Kepada Universiti Utara Malaysia Dan Perjumpaan Mesra Naib Canselor Bersama Pelajar Penerima Zakat UUM Bagi Tahun 2022.
Katanya, UUM komited memastikan pelbagai program bagi membantu golongan B40 dan berharap suatu hari nanti mereka dapat mengubah nasib daripada penerima zakat kepada pemberi zakat.
Beliau turut merakamkan jutaan terima kasih kepada BIMB kerana menjadi antara badan penyumbang zakat utama kepada pelajar untuk menerima zakat dan sumbangan ini dapat mengurangkan bebanan yang dihadapi oleh pelajar dalam menjalani pembelajaran di dalam UUM.
Daripada tahun 2018 sehingga tahun 2022, seramai 10,690 asnaf menerima manfaat daripada sejumlah RM2,546,884.17 bantuan agihan zakat yang telah diberikan oleh Lembaga Zakat Negeri Kedah. Jumlah ini merupakan hasil agihan balik zakat pendapatan kakitangan UUM.
Seramai 604 pelajar UUM diberikan agihan berjumlah RM250 dan RM400 seorang melibatkan jumlah peruntukkan sebanyak RM214,600