All News

ALUMNI BANTU PERKASA AGENDA DANA WAKAF DAN ENDOWMEN UNIVERSITI

ALUMNI BANTU PERKASA AGENDA DANA WAKAF DAN ENDOWMEN UNIVERSITI

UUM ONLINE: Kemenjadian sesebuah universiti bukan sahaja terletak kepada kemampanan kewangan, kredibiliti pemegang taruh, tadbir urus yang cekap, malah ia turut didukung dengan penglibatan alumni yang ampuh, justeru Universiti Utara Malaysia (UUM) sentiasa memantapkan usaha untuk melestarikan rangkaian hubungan yang baik dengan alumni.

Menyedari bahawa alumni memiliki kemampuan untuk terus menyumbang kepada pembangunan universiti dan salah satunya adalah melalui wakaf dan endowmen, pengurusan universiti telah melantik dua alumni iaitu Ketua Pegawai Eksekutif Mutiara Teknologi (M) Sdn. Bhd. Group of Companies, Abdul Hafidz Win dan Pengurus Besar Bahagian Sumber Manusia, Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (ANGKASA), Abdul Rahim Abdul Rahman sebagai Ahli Jawatankuasa Pengurusan Dana Wakaf dan Endowmen (JPWE).

Bagi mewujudkan gagasan yang strategik dan sinergi yang berterusan, Bahagian Zakat, Wakaf dan Endowmen (BZWE), Jabatan Strategik dan Pembangunan Perniagaan (BSD) telah mengadakan taklimat berhubung dana wakaf dan endowmen yang turut menerangkan lebih lanjut tentang peranan alumni dalam memperkasakan agenda tersebut secara dalam talian yang disampaikan Pengurus BZWE, Dr. Nor Syahidah Ishak.

Selain perkongsian idea dan kepakaran, beberapa agenda promosi turut direncanakan oleh BZWE dengan kerjasama Pusat Alumni yang mana Pusat Alumni akan menggiatkan lagi usaha membantu menambah dana wakaf dan endowmen melalui jaringan alumni sedia ada termasuklah perancangan bagi sumbangan wakaf melalui potongan gaji alumni.

Wakaf dan endowmen merupakan platform yang baik kepada alumni untuk terus menyumbang dalam bentuk pendanaan kewangan khususnya bagi pembangunan infrasktruktur dan kemudahan di dalam kampus. Ia juga sebagai landasan bagi alumni untuk menyumbang kembali kepada alma mater selaras dengan moto UUM sendiri ‘Ilmu Budi Bakti’.

Turut serta dalam taklimat ini ialah Pengarah BSD, Prof. Madya Dr. Hijattulah Abdul Jabbar; Pengarah Pusat Alumni, Prof. Madya Dr. Lily Julienti Abu Bakar; Timbalan Pengarah BSD, Prof. Madya Dr. Siti Zabedah Saidin dan staf pentadbiran BZWE.