All News

KERJASAMA UUM-MAIK PERKASA PENGURUSAN DANA WAKAF

UUM ONLINE: “Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu menafkahkan (mendermakan) sehahagian dari apa yang kamu sayangi. Sesuatu apa jua yang kamu nafkahkan (dermakan) maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.” (Surah Ali ‘Imran, ayat 92)

Wakaf dari segi bahasa bermaksud berhenti, menahan dan menghalang, manakala dari segi syarak ialah apa-apa harta yang ditahan hak pewakaf ke atas harta tersebut daripada sebarang urusan jual beli, pewarisan, hibah dan wasiat, di samping mengekalkan sumber fizikalnya untuk kebaikan dengan niat untuk mendekatkan diri pewakaf kepada Allah.

Selaras dengan Lonjakan 5 dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) iaitu Kemampanan Kewangan, semua institusi pendidikan tinggi (IPT) diminta untuk meningkatkan penjanaan kewangan, endowmen dan wakaf.

Sehubungan itu, Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Pengurusan Dana Wakaf dan Endowmen (JBW) Universiti Utara Malaysia kali ke-2 Bil. 1/2021 telah diadakan secara atas talian, baru-baru ini.

Mesyuarat tersebut telah dipengerusikan Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Kedah (MAIK), Dato’ Syeikh Yahaya Jusoh dan turut disertai Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Ahmad Bashawir Abdul Ghani yang juga Timbalan Pengerusi JBW dari Bilik Mesyuarat Naib Canselor.

Beberapa agenda penting telah dibincangkan antaranya laporan kutipan dana wakaf tunai UUM serta hala tuju dan perancangan pengurusan wakaf di peringkat UUM dan MAIK.

Selain itu, beberapa agenda promosi turut direncanakan oleh universiti dengan kerjasama MAIK selaku pemegang amanah tunggal (mutawalli) wakaf, nazar dan amanah di negeri Kedah bagi memperkasakan wakaf antaranya promosi melalui papan iklan (billboard) di sekitar Bandaraya Alor Setar, aplikasi Wazabase dan pelantikan Duta Wakaf.

Turut serta dalam mesyuarat ini ialah Mufti Negeri Kedah, Dato’ Syeikh Fadzil Awang; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Madya Dr. Hendrik Lamsali; Bendahari, Eylani Ahmad dan pegawai-pegawai kanan UUM dan MAIK.

Warga UUM boleh berwakaf melalui potongan gaji secara bulanan atau secara sekali beri (one-off) melalui portal masing-masing, malah universiti juga mengalu-alukan orang ramai dan badan korporat yang berminat untuk berwakaf untuk layari https://e-com.uum.edu.my

Bukti bayaran wakaf boleh e-mel kepada Pengurus Bahagian Zakat, Wakaf dan Endowmen (BZWE) di alamat This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.