All News

UUM GIAT USAHA KUMPUL DANA WAKAF

UUM ONLINE: Alor Setar – UUM mensasarkan kutipan dana wakaf sebanyak RM1 juta pada tahun ini menerusi Skim Dana Wakaf UUM selepas diberikan kepercayaan oleh Majlis Agama Islam Kedah (MAIK) untuk melaksanakan kutipan dana wakaf pada September tahun lalu.

Sehubungan itu, mesyuarat pertama Jawatankuasa Bersama Pengurusan Dana Wakaf UUM telah diadakan di Bilik Mesyuarat Utama, MAIK, baru-baru ini bagi merealisasikan hasrat tersebut.

Jawatankuasa ini dipengerusikan oleh Timbalan Yang Di Pertua MAIK, Dato’ Setia Jaya Dato’ Paduka Syeikh Hasbullah Abd. Halim dan Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Ahmad Bashawir Abdul Ghani sebagai Timbalan Pengerusi.

Dalam mesyuarat ini telah dibentangkan tiga laporan utama iaitu berkaitan bidang kuasa dan fungsi Jawatankuasa Bersama Pengurusan Dana Wakaf UUM, laporan pengurusan Skim Dana Wakaf UUM sepanjang tempoh November 2019 sehingga Februari 2020 dan draf awal Model Pengurusan Skim Dana Wakaf UUM.

Pada masa sama, ahli mesyuarat juga bersetuju untuk meningkatkan usaha dan gerak kerja bagi mencapai sasaran tahunan tersebut iaitu meningkatkan jumlah kutipan dana wakaf.

Jawatankuasa Bersama Pengurusan Dana Wakaf UUM ini bertujuan mengurus dan mentadbir Skim Dana Wakaf UUM yang telah ditubuhkan melalui pemeteraian Memorandum Perjanjian (MoA) antara MAIK dan UUM pada September tahun lalu.

Ahli jawatankuasa daripada MAIK terdiri Mufti Negeri Kedah, Dato’ Paduka Syeikh Fadzil Awang; Setiausaha MAIK, Mohd Yusri Md. Daud; Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah, Dr. Akil Ahmad; Akauntan MAIK, Rosnani Abdul Rahim dan Ketua Bahagian Wakaf MAIK, Syeikh Fakhrurrazi Yub.

Manakala UUM diwakili Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Madya Dr. Hendrik Lamsali; Pemangku Bendahari, Eylani Ahmad serta Pegawai Kewangan, Abdul Roni Baharom dan Bahagian Zakat, Wakaf dan Endowmen (BZWE), Jabatan Strategik dan Pembangunan Perniagaan (BSD) sebagai sekretariat.

maik bersama bzwe